Sudah menjadi lumrah manusia, kita akan menangis apabila merasakan ujian Allah itu tidak tertanggung. Ingin sahaja hati ini memberontak. Tetapi ingatlah kembali, sesungguhnya kita hanya hamba yang lemah. Pada suatu ketika, kita akan berada di atas, di mana kita tidak tahu bersyukur dan tidak berfikir dari mana datangnya kesenangan itu, pastinya kita berada dalam kerugian kerana melupakan Allah yang memberi segala nikmat.
Pada suatu ketika, kita akan berada di bawah. Saat Allah menarik kembali kesenangan yang diperolehi maka pada saat itu, kita manusia akan menadah tangan kepada Allah dan bertanya mengapa derita diberikan kepada kita. Pada saat itulah baru kita ketahui wujudnya Allah sebagai Tuhan yang berkuasa dalam menentukan segalanya.
Ketahuilah, setiap yang terjadi mempunyai sebab dan semestinya perkara yang telah terjadi akan mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Sesungguhnya manusia tidak tahu apa yang terbaik disediakan untuk manusia yang lain. Tetapi, Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita berbanding diri kita sendiri. Kerap kali kita akan mengeluh memikirkan takdir yang menimpa diri, kesedihan akan mula menguasai diri, kemalasan menguasai diri dan berasa malas untuk bangun meneruskan kehidupan, sehinggakan terkadang melupakan tanggungjawab ibadah solat terhadap Allah S.W.T.
Percayalah, Allah akan menurunkan sesuatu ujian bertepatan dengan kemampuan hamba-Nya. Setiap kita pernah merasai kesusahan, kesedihan, di mana kita sendiri merasa sukar untuk diri kita sembuh setelah berlakunya bermacam perkara yang melunturkan semangat kita. Sebagai manusia yang dikurniakan akal, sebagai pesanan untuk diri sendiri juga, semestinya kita perlu berfikir, mengapa Allah menguji kita sebegitu rupa? Jawabnya tidak lain, itulah tandanya Allah masih sayangkan kita dan supaya kita sentiasa ingat kepada-Nya. Cuba kita imbas kembali, berapa banyak kita mengingati-Nya? Dengan kerja yang berlambak, soal keduniaan kerapkali menjadi keutamaan. Allah sentiasa mengingati kita, tetapi kita lalai mengingatinya.
Allah mahu kita berfikir. Kita sendiri tahu, setiap yang berlaku tersimpan pengajaran. Maka jadikanlah pengajaran itu sebagai pedoman di masa akan datang. Mungkin hari ini kita dalam kesedihan dan kesusahan, tetapi akan tiba masanya Allah akan memberikan kita kesenangan dan kebahagiaan yang kita sendiri tidak pernah jangka. Teruskanlah berdoa kepada-Nya, berserah kepada-Nya setelah berusaha.
Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar doa hamba-Nya yang berada dalam kesusahan. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil dan percayalah bahawa janji Allah itu pasti. Dalam apa-apa keadaan pun, ingatlah Allah sebagai tempat pergantungan kita yang mutlak. Tanpa izin-Nya tidak akan terjadi apa yang kita mahukan. Hiduplah untuk mendapatkan keredhaan-Nya. Moga hati kita menjadi tenang dalam menempuh segala jenis ujian yang diturunkan oleh-Nya.
Semoga hidup kita sentiasa diberkati dan mendapat rahmat yang berpanjangan dari-Nya. Sesungguhnya manusia itu tidak lekang dari melakukan kesalahan, maka selaku sudara sesama Islam, berpesan-pesanlah kita sesama umat manusia. Jika ada hati yang merintih, mengadulah kepada-Nya dan kita di dunia laksanakanlah amanah sesama umat, bantu selagi terdaya kerana sebaik-baik manusia adalah manusia yang membuat kebaikan demi mendapat keredhaan Allah.
Segala keburukan datangnya dari diri ini, tiada niat untuk berbangga diri. Tiada niat menunjuk hanya sekadar berkata-kata, kerana aku juga manusia biasa yang belajar dari kehidupan di bawah naungan Pencipta. Semoga beroleh manfaat dan maafkanlah andai tersilap kata dan menyinggung rasa kerana kebaikan dan kesempurnaan mutlak itu datangnya dari Allah S.W.T. Marilah bersama-sama menghayati erti kehidupan dan fikirlah betapa Allah itu sentiasa ada untuk makhluk ciptaan-Nya sama ada semasa susah dan senang. Wallahua'alam.
No comments:
Post a Comment