Blogger Backgrounds

Saturday, December 3, 2011

..Menghitung Jiwa..

Apakah lagi penyakit yang tidak menyerang hatiku?
Sombong,ujub,riya’ dan dengki..
Ya Allah, sembuhkanlah penyakit hatiku,
Sesungguhnya Engkau Tuhan yang Maha Penyembuh.

Begitulah terjemahan dari petikan syair. Sungguh, variasi warna jiwa yang tidak kita duga. Bilakah rasa riya’ menyapa? Atau rasa dengki yang sedang membusuk? Saya jadi teringat kepada antara tazkirah yang menyatakan taubat orang yang taat harus 1000 kalisentiasa kerana perlu bimbangnya hati yang lalai.

Sentiasa ingatkan diri bahawa amal adalah benteng bagi iman menahan godaan nafsu di zaman yang mencabar. Meletakkan asbab kehancuran bagi diri adalah apabila meninggalkan amal. Diri ini hancur apabila meninggalkan solah fardhu berjemaah, meninggalkan al Quran,dakwah dan mempelajari ilmu. Kehancuran yang berlaku kerana lalainya hati dari mengingati Allah, asyiknya nafsu bergelumang dengan maksiat. Amal dengan hati yang sedar adalah penyelamat. Amal yang istiqomah adalah benteng kukuh. Amal yang ikhlas adalah cahaya,menerangi jalan para pencari Nya.

Suasana zaman, manakah hati yang beriman tidak menangis sedih akannya? Akan nasib saudara yang jauh dari pegangan Islam. Butanya hati dalam mengenal dosa dan pahala, azab dan syurga serta ketandusan kasih sayang itu sendiri. Beban dosa menjadikan diri berat melangkah menyertai amal, canggung dalam alam kebajikan, hilang dari rasa ihsan, bersikap zalim tanpa sedar.

“Para sahabat punyai zahir jasad dan hati yang sama dengan kita. Yang membezakan mereka adalah taqwa mereka pada Allah dan kecintaan mereka kepada Rasulullah saw. Mereka berkorban diri,jiwa,harta dan masa sepenuhnya dengan bersandarkan kepada fikir mereka pada akhirat. Sedang kita masih dibelenggu dengan cinta kita pada dunia. Pengorbanan kita masih terikat dalam nisbah nafsu memikirkan kerugian dunia. Sedang,tiada kejayaan lain yang setara dengan redha Allah, apabila kedua-dua kaki menjejak syurga.”

Alam yang kita pijak akan hancur. Nyawa yang kita hela akan diambil. Jasad yang kita pakai akan dimamah bumi. Masa yang kita lalui akan terhenti, meninggalkan manusia dalam kerugian. Menyesal akan setiap detik yang tidak kita guna sebaiknya dalam menyembah Allah.

Ingin sekali secebis kasih sayang yang agung itu. Berlembut sekalipun dihina, dipukul dan dizalimi. Dikasihi seluruh penghuni alam, dirindui dan dicintai. Yang mengunyah bantu menyuapkan makanan pada si kafir buta yang sentiasa mencelanya. Yang kekal menziarahi dengan kasih sayang sekalipun diperlakukan dengan pelbagai kelakuan buruk. Yang sentiasa senyum. Yang pemurah dan sederhana. Yang sentiasa menangis pada malamnya risaukan umat seluruhnya. Yang terbaik dalam amalnya, yang sempurna akhlaknya, Rasulullah saw.

Ya Allah, sampaikan salam rindu dan selawat kami kepada Habibuna Rasulullah saw.
Ya Allah, ampuni dosa kami dan terima amal kami.
Ya Allah, kekalkan kami dalam usaha dakwah, untuk kami panjangkan kasih sayang Rasulullah saw pada umat supaya menyembah Mu.
Ya Allah, sungguh Engkau Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang..

No comments:

Post a Comment

..Hayatku..

Daisypath Happy Birthday tickers